WASHINGTON, 25 Jun- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa Israel supaya mengelakkan ketegangan yang semakin meningkat di Lubnan.
Gesaan itu dibuat semasa pertemuan Blinken dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant di Washington semalam bagi membincangkan usaha mencapai perjanjian untuk membebaskan para tebusan di Gaza.
Gallant sedang dalam lawatan ke Washington untuk mengesahkan nilai hubungan dengan sekutu utama Israel itu selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara terbuka menuduh Amerika Syarikat atas apa yang disifatkannya sebagai kelewatan dalam usaha menghantar senjata kepada Israel.
Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata dalam pertemuan selama dua jam itu, Blinken turut membincangkan diplomasi tidak langsung antara Israel dengan Hamas mengenai perjanjian yang menjamin pembebasan semua tebusan dan meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Blinken juga menegaskan betapa pentingnya untuk mengelakkan konflik yang semakin memuncak dan mencapai resolusi diplomatik yang membolehkan para penduduk Israel dan Lubnan pulang ke kediaman mereka.
Ketegangan semakin meruncing dengan pertempuran yang semakin meningkat antara Israel dengan Hizbullah yang disokong oleh Iran.
Netanyahu berkata tentera Israel sedang menamatkan bahagian paling sengit dalam perang Gaza dan akan ditempatkan semula ke sempadan utara, walaupun dia menganggap langkah itu sebagai pertahanan.
Gallant juga bertemu ketua CIA Bill Burns, penunjuk utama AS dalam rundingan untuk membebaskan tebusan daripada Hamas.
"Saya ingin menekankan bahawa ia adalah komitmen utama Israel untuk mengembalikan tebusan, tanpa pengecualian.
“Kami akan terus berusaha sedaya upaya untuk membawa mereka pulang,” kata Gallant sebelum memulakan pertemuannya.
Menteri itu tidak membuat sebarang kenyataan lanjut ketika dia meninggalkan pertemuan dengan Blinken, semasa puluhan penunjuk perasaan di luar Jabatan Negara melaung memanggilnya "penjenayah perang."- AFP