fb fb fb fb fb

Kes keganasan di Haiti, Kenya hantar bantuan 1,000 anggota polis

Foto AFP

NAIROBI, 25 Jun- Pihak berkuasa Kenya yang mengetuai misi multinasional untuk menangani kes keganasan kumpulan pemberontak di Haiti, selamat berlepas dari Nairobi pada lewat Isnin, kata menteri dalam negeri, Kithure Kindiki.

"Berbesar hati melihat pelepasan kumpulan pertama kontinjen pegawai Perkhidmatan Polis Negara yang merupakan sebahagian daripada Misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang bersejarah ke Haiti," kata Kindiki dalam satu kenyataan.

Kenya menawarkan kekuatan anggota kira-kira 1,000 polis untuk menstabilkan situasi tegang di Haiti selain bersama kakitangan dari beberapa negara lain.

Bagaimanapun, penempatan itu telah menghadapi cabaran undang-undang di negara Afrika Timur itu.

"Kira-kira 400 pegawai polis berlepas dari Nairobi pada pukul 10.50 malam waktu tempatan menaiki syarikat penerbangan nasional, Kenya Airways," jelas seorang pegawai di kementerian dalam negeri memberitahu AFP.

"Ketua polis dan pegawai dari kementerian dalam negeri turut hadir melihat upacara pelepasan itu," tambahnya.

Kumpulan yang dihantar terdiri daripada pegawai elit dari Unit Kerahan Pantas, Unit Perkhidmatan Am, Polis Pentadbiran dan Polis Kenya.

Presiden William Ruto mengucapkan selamat tinggal kepada para pegawai pada Isnin dan menyerahkan bendera kebangsaan Kenya kepada mereka sebagai simbolik upacara, tanda penghargaan di atas pengorbanan wira negara.

"Kehadiran anda di Haiti akan membawa harapan dan kelegaan kepada masyarakat yang menderita akibat keganasan dan kekacauan," katanya sambil menambah bahawa pasukan yang lain akan menyertai rakan sekerja mereka "tidak lama lagi".

Penempatan itu telah diluluskan oleh resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Oktober, hanya ditangguhkan oleh keputusan mahkamah Kenya pada Januari.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM