TOKYO, 14 Ogos - Bitcoin mencecah paras tertinggi baharu melebihi AS$124,000 pada awal dagangan Asia Khamis, didorong oleh undang-undang baharu di Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan pasaran saham negara itu.
Mata wang kripto tersebut melepasi rekod Julai lalu apabila sebentar melebihi AS$124,500 sebelum susut semula.
Saham AS ditutup tinggi pada Rabu, dengan indeks S&P 500 dan Nasdaq mencatat paras tertinggi baharu minggu ini, sekali gus menyokong kenaikan bitcoin.
Nilai bitcoin melonjak hasil perubahan peraturan di bawah pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, yang dikenali sebagai penyokong kuat sektor kripto.
Kenaikan harga turut dipacu oleh pemilik aset kripto berskala besar atau “paus kripto” yang meningkatkan pembelian.
“Pasaran kripto kini menikmati tempoh asas yang sangat menguntungkan,” kata penganalisis pasaran kanan XS.com, Samer Hasn.
Beliau berkata Trump telah menamatkan sekatan yang sebelum ini menghalang bank daripada berurusan dengan syarikat yang dikategorikan berisiko reputasi, termasuk firma kripto.
Hasn menambah Trump berkemungkinan mempercepatkan integrasi mata wang kripto dalam sistem kewangan negara dan menarik balik lebih banyak sekatan, memandangkan beliau dan keluarganya semakin terlibat dalam sektor tersebut.
Kumpulan media Trump dan Tesla milik jutawan teknologi Elon Musk antara syarikat yang membeli bitcoin dalam jumlah besar.-AFP