fb fb fb fb fb

Biden sihat, boleh bertanding untuk pemilihan semula pada 2024

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 17 Februari- Presiden Joe Biden diisytiharkan sihat oleh doktornya pada Khamis selepas pemeriksaan perubatan tahunan terakhir sebelum dia dijangka mengisytiharkan bertanding untuk pemilihan semula pada 2024, apabila dia akan berusia 82 tahun.

Laporan pemeriksaan kesihatan menyeluruh mendapati beberapa isu kecil, tetapi secara amnya, Biden bebas daripada masalah fizikal dan saraf yang serius.

"Presiden Biden kekal sebagai lelaki yang sihat, cergas, berusia 80 tahun. Beliau cergas untuk melaksanakan tugas-tugas kepresidenan dengan jayanya, termasuk sebagai Ketua Eksekutif, Ketua Negara dan Ketua Komander," kata doktor Biden, Kevin O 'Connor dalam surat yang diterbitkan oleh White House.

"Presiden kekal cergas untuk bertugas, dan melaksanakan sepenuhnya semua tanggungjawabnya tanpa sebarang pengecualian atau kemudahan."

Biden, lelaki tertua pernah menjadi presiden AS, menghabiskan waktu pagi menyelesaikan satu siri pemeriksaan yang dimulakannya tahun lalu di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed, sebuah kompleks di pinggir bandar Washington.

Beliau tidak mengisytiharkan bidaan pemilihan semula tetapi dijangka akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Di pihak Republikan, pendahulu setakat ini adalah bekas presiden Donald Trump, yang dikalahkan Biden dalam pilihan raya 2020.

Biden berkemungkinan bakal meneruskan rekod politiknya selepas dua tahun di mana dia mengemudi negara itu mendepani wabak Covid, menamatkan perang AS di Afghanistan dan mengumpulkan negara-negara Barat menentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Pun begitu, persoalan mengenai usianya dan sindiran daripada Republikan yang mengatakan dia tidak cekap dari segi mental mungkin akan menjadi senjata utama semasa kempen.

Surat daripada O'Connor memberi gambaran yang sangat terang, Biden merupakan seorang presiden yang menjalani gaya hidup sihat.

"Presiden tidak menggunakan sebarang produk tembakau, tidak minum alkohol, dan dia terus bersenam sekurang-kurangnya lima hari seminggu," kata surat itu.

Biden berukuran enam kaki (1.83 meter) dan berat 178 paun (hampir 80.7 kg).

Laporan itu menyatakan bahawa Biden dijangkiti COVID-19, dua kali pada 2022 dan satu kes refluks gastroesophageal yang menyebabkan dia sering batuk, dan satu lagi adalah pergerakan berjalan kaku akibat 'haus' di tulang belakangnya.

Semasa pemeriksaan terakhir Biden, dia menjalani kolonoskopi dengan bius penuh dan memindahkan kuasanya selama satu jam 25 minit kepada Naib Presiden Kamala Harris, menjadikannya wanita pertama dalam sejarah AS yang berkhidmat sebentar sebagai pemangku presiden.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu