fb fb fb fb fb

Biden jatuh tersungkur pada majlis konvo tentera udara

(Presiden Joe Biden tersungkur selesai menyerahkan skrol terakhir pada majlis konvokesyen Akademi Tentera Udara/FOTO AFP)

COLORADO SPRINGS, 2 Jun - Presiden Joe Biden jatuh tersungkur sebaik sahaja selesai menyerahkan skrol terakhir pada majlis konvokesyen graduan diploma di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), pada Khamis.

Biden, 80 tahun dipercayai tersadung bagaimanapun bangun dengan pantas lalu berjalan menuju ke kerusinya.

Biden sempat mengawal keadaan dengan menahan dirinya menggunakan tangan, sebelum dibantu oleh tiga pembantunya dan berjalan semula tanpa sebarang bantuan.

Selepas kejadian Biden berbual dengan pegawainya sambil mengangkat ibu jari, memberi isyarat beliau dalam keadaan baik.

Kejadian itu berlaku selepas Biden berucap pada majlis perasmian yang memberi amaran kepada graduan berkaitan situasi yang bakal dihadapi mereka ketika memulakan perkhidmatan dalam keadaan dunia tidak stabil, selain berdepan cabaran dari Russia dan China.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi White House, Ben LaBolt melalui akaun Twitter berkata, Biden dalam keadaan baik.

"Ada beg pasir di atas pentas ketika Presiden bersalaman," jelasnya lagi.

Biden merupakan pemimpin tertua menerajui Pejabat Oval, akan bertanding pada pemilihan semula tahun hadapan.

Dalam tinjauan yang dilakukan menunjukkan rakyat AS bimbang republik itu ditadbir presiden berusia 75 tahun ke atas.

Pesaingnya yang juga bekas Presiden, Donald Trump bakal memasuki usia 77 tahun, pada bulan ini.

Doktor mengisytiharkan Biden dalam keadaan sihat dan cergas untuk berkhidmat selepas melalui pemeriksaan fizikal, pada Februari lalu.

Biden juga dimaklumkan tidak mengambil minuman beralkohol atau produk tembakau, selain bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu.

Pada 19 Jun tahun lalu, Biden dilaporkan terjatuh ketika menunggang basikal berhampiran rumah pantainya di Delaware namun tidak mengalami sebarang kecederaan - REUTERS

(Biden pernah dilaporkan terjatuh ketika menunggang basikal pada Jun tahun lalu/FOTO REUTERS)

Media Baharu