fb fb fb fb fb

Biden arah tentera AS pindahkan kakitangan kedutaan dari Khartoum

(Foto fail bangunan Kedutaan As di Sudan/AFP)

WASHINGTON, 23 April- Presiden Joe Biden mengesahkan beliau telah mengarahkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kakitangan dari Kedutaan Amerika di Khartoum, Sudan.

Biden menggesa agar pertempuran yang disifatkannya tidak wajar itu dihentikan di ibu negara Sudan antara tentera dan kumpulan separa tentera.

"Hari ini, atas arahan saya, tentera menjalankan operasi untuk mengeluarkan kakitangan Kerajaan AS dari Khartoum," kata Biden dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa kedutaan itu "menggantung operasi buat sementara waktu."

Ketika keganasan memasuki minggu kedua, Biden mendesak untuk gencatan senjata segera tanpa syarat, "akses kemanusiaan tanpa halangan" dan menghormati "kehendak rakyat Sudan."

"Saya berbangga dengan komitmen luar biasa kakitangan Kedutaan kami, yang melaksanakan tugas mereka dengan berani dan profesional serta mewujudkan persahabatan dan hubungan Amerika dengan rakyat Sudan," kata Biden.

Dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata beliau mengarahkan pemindahan kakitangan dan keluarga mereka kerana risiko keselamatan yang serius dan semakin meningkat di tengah-tengah pertempuran menyebabkan ratusan terbunuh dan ribuan cedera.

"Kami mengingatkan kedua-dua pihak yang bertelagah tentang kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk yang berkaitan dengan perlindungan orang awam," kata Blinken, mengulangi gesaan sebelum ini untuk perjanjian gencatan senjata sepanjang cuti Aidilfitri.


(Gambar diambik daripada video APTV menunjukkan kepulan asap meyelubungi Khartoum, Sudan
di mana pertempuran antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF)
kembali sengit selepas Aidilfitri/AFP)

Pertempuran antara tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo Pasukan Sokongan Pantas (RSF) berhubung pertikaian mengenai rancangan integrasi RSF ke dalam tentera biasa. bermula 15 April lalu.

Tindakan itu merupakan syarat utama bagi perjanjian yang bertujuan memulihkan peralihan demokrasi Sudan selepas tentera menggulingkan bekas pemimpin Omar al-Bashir pada April 2019 berikutan bantahan rakyat besar-besaran.

Kedua-dua ketua itu itu telah bergabung untuk menggulingkan kerajaan awam yang ditabalkan selepas kejatuhan Bashir, sebelum berpaling tadah antara satu sama lain.-AFP

Media Baharu