WASHINGTON, 13 November- Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan menyambut kedatangan Presiden terpilih, Donald Trump di White House, pada Rabu.
Pertemuan itu sebagai simbolik rasmi penyerahan kuasa yang lancar dan sistematik antara pentadbiran, meski Trump masih belum menandatangani dokumen untuk memulakan proses penyerahan tersebut.
Terdahulu, Biden sepatutnya menjadi seteru Trump dalam Pilihan Raya AS 2024, bagaimanapun berundur dan mempertaruhkan naib presidennya, Kamala Harris.
Biden dijangka bakal menyambut bekas dan bakal presiden itu di Pejabat Oval.
Upacara hormat itu adalah tradisi yang diamalkan oleh presiden yang akan berundur, namun tidak diberikan oleh Trump pada tahun 2020, ketika Biden menang.
"Beliau menghormati norma-norma, menghormati institusi kita dan percaya kepada pemindahan kuasa yang aman.
"Itulah norma yang sepatutnya berlaku," kata jurucakap White House, Karine Jean-Pierre, kepada pemberita.
Biden dan Trump saling mengkritik satu sama lain selama bertahun-tahun, dengan pasukan masing-masing sangat berbeza pendapat mengenai dasar seperti perubahan iklim, hubungan dengan Rusia dan perdagangan.
Biden, 81 tahun, menggambarkan Trump sebagai ancaman kepada demokrasi manakala Trump, 78 tahun, menganggap Biden tidak kompeten.
Trump pernah membuat dakwaan palsu mengenai penipuan pilihan raya yang meluas pada tahun 2020.
Ini akan menjadi pertemuan pertama antara kedua-duanya sejak debat mereka pada bulan Jun.
Prestasi lemah Biden dalam debat tersebut meningkatkan kebimbangan mengenai usia beliau dalam kalangan ahli Demokrat dan akhirnya menyebabkan beliau menarik diri daripada pilihan raya.
Harris mengambil alih sebagai calon Demokrat, tetapi kempennya berakhir dengan kekalahan.-REUTERS