fb fb fb fb fb

Bersedia untuk perang yang panjang di Ukraine- NATO

(Bangunan pangsapuri di Dnipro, Ukraine rosak teruk akibat
serangan peluru berpandu Rusia /REUTERS)

FRANKFURT, 17 September- Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg memberi amaran bahawa tidak akan ada pengakhiran segera kepada perang di Ukraine, dalam satu wawancara yang disiarkan pada Ahad, ketika Kiev meneruskan serangan balasnya terhadap Rusia.

"Kebanyakan peperangan berlangsung lebih lama daripada jangkaan apabila ia bermula," kata Stoltenberg dalam temu bual dengan kumpulan media Funke Jerman.

"Oleh itu, kita mesti mempersiapkan diri untuk perang yang panjang di Ukraine", katanya.

Konflik Rusia-Ukraine bermula pada Februari, 2022 apabila Moscow menghantar tenteranya ke Ukraine, dan tercetusnya kembali perang di Eropah buat kali pertama dalam beberapa dekad.

Kiev melancarkan serangan balasnya pada bulan Jun dan menolak kedudukan Rusia yang berakar umbi di selatan dan timur.


(Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg/AFP)

"Kami semua mengharapkan keamanan segera," kata Stoltenberg.

“Tetapi pada masa yang sama kita mesti akui jika Presiden Volodymyr Zelensky dan Ukraine berhenti berperang, negara mereka tidak akan wujud lagi.

"Jika Presiden Vladimir Putin dan Rusia meletakkan senjata mereka, kita akan mendapat keamanan", katanya.

Mengenai hasrat Ukraine untuk menyertai perikatan itu, Stoltenberg berkata tidak ada keraguan bahawa Ukraine akhirnya akan berada dalam NATO.

"Kiev telah bergerak lebih dekat dengan NATO pada sidang kemuncak perikatan itu pada Julai", katanya.

"Apabila perang ini berakhir, kita memerlukan jaminan keselamatan untuk Ukraine. Jika tidak, sejarah akan berulang," tambahnya.

Pada sidang kemuncak Julai lalu di Vilnius, pemimpin NATO bersetuju bahawa Ukraine boleh menyertai perikatan itu sebaik saja syarat tertentu dipenuhi dan pegawai Amerika Syarikat dan Jerman menjelaskan bahawa ini termasuk Kiev yang melaksanakan pembaharuan untuk melindungi demokrasi dan kedaulatan undang-undang.- AFP

Media Baharu