fb fb fb fb fb

Berjuta-juta rakyat Filipina keluar mengundi hari ini pilih presiden baharu

BATAC CITY, 9 Mei- Pilihan raya bagi memilih presiden baharu Filipina bermula hari ini menyaksikan berjuta-juta rakyat negara itu keluar mengundi.

Rakyat Filipina yang memakai pelitup muka mula beratur sejak subuh untuk mengundi di sekolah dan beberapa pusat pengundian lain di seluruh negara.

Tempoh mengundi bermula pada pukul 6 pagi waktu tempatan dan berakhir pada 7 malam.

Jumlah keluar mengundi dijangka tinggi dalam kalangan 65 juta rakyat Filipina yang layak mengundi, dengan lebih 60,000 anggota keselamatan dikerah bagi mengawal proses pilihan raya.

Selepas tempoh berkempen yang getir, kaji selidik menunjukkan Ferdinand Marcos Jr, anak kepada bekas diktator Ferdinand Marcos dilihat berpeluang menang dan mengembalikan keluarganya ke puncak kuasa selepas bapanya digulingkan dan mereka terpaksa hidup dalam buangan.

(Calon presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengundi di Sekolah Rendah Memorial Mariano Marcos di Batac / Foto AFP)

Beliau dilihat memiliki kelebihan dan mendahului dengan dua angka berbanding pesaingnya, Leni Robredo yang juga Naib Presiden Filipina.

Lobredo dilihat terpaksa mengharapkan peratusan keluar mengundi yang rendah atau lonjakan sokongan saat akhir untuk menang.

Sejumlah 10 calon bersaing untuk menggantikan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, dalam pilihan raya yang dilihat banyak pihak sebagai sebagai penentu kepada demokrasi Filipina.- AFP




Media Baharu