fb fb fb fb fb

Beratus-ratus individu berkumpul mengingati Hassan Nasrallah

Beratus-ratus individu berkumpul menghadiri upacara mengingati ketua Hizbullah Hassan Nasrallah di Haret Hreik di pinggir selatan Beirut/ AFP

BEIRUT, 1 Disember- Beratus-ratus individu berkumpul di pinggir bandar selatan Beirut di lokasi bekas pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah terbunuh dalam serangan udara Israel dua bulan lalu.

Lilin dan bendera kuning kumpulan itu dipasang di dalam dan sekitar kawasan berkenaan.

"Sayyed Hassan adalah segala-galanya bagi kami. Kalaulah kami mati dan dia masih hidup," kata Lama, seorang wanita berusia 30 tahun yang membawa dua anaknya yang masih kecil ke upacara itu.

"Kehilangannya meninggalkan kesan besar," tambahnya.

Sementara itu turut kelihatan sekumpulan anak muda mengibarkan bendera Hizbullah dan melaungkan kata-kata semangat; "Atas arahanmu, Nasrallah."

"Saya masih tidak percaya dia sudah mati," kata Lea, seorang pelajar berusia 18 tahun yang datang bersama rakan-rakannya.

Israel habis-habisan menyerang pinggir bandar selatan Beirut, kubu kuat Hizbullah selama dua bulan.

Serangan udara pada 27 September lalu meragut nyawa Nasrallah di dalam kubu bawah tanah yang turut membunuh seorang lagi komander, serta seorang anggota kanan Pengawal Revolusi Iran.

Nasrallah dikebumikan di lokasi rahsia, kerana bimbang pengebumiannya menjadi sasaran Israel.

Selepas gencatan senjata, Hizbullah mengumumkan rancangan untuk pengebumian awam tetapi tidak menyatakan tarikhnya.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI