PARIS, 27 Julai - Sebuah belon udara panas yang digunakan sebagai simbol temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menarik perhatian ramai, apabila memaparkan mesej “Hentikan Genosid di Gaza” bersama logo Amnesty International ketika berlegar di ruang udara Taman Tuileries, Paris, pada Sabtu malam.
Belon berkenaan dinaikkan sempena ulang tahun pertama upacara pembukaan Olimpik, namun mesej yang dipaparkan bukan sebahagian daripada acara rasmi.
Tindakan itu mencetus reaksi pelbagai pihak, termasuk pengunjung dan sukarelawan sukan Olimpik yang menyifatkannya sebagai mesej solidariti dan kesedaran yang kuat terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Seorang perunding pengurusan dari Perancis, Chloe, berkata mesej tersebut mengejutkan tetapi wajar bagi menarik perhatian umum terhadap situasi di Gaza. “Ia mesej yang kuat dan membuka mata ramai,” katanya.
Pandangan serupa dikongsi Kerwyn Cox, peminat Olimpik dari Trinidad dan Tobago, yang menyatakan bahawa penggunaan belon itu adalah langkah bijak untuk menyampaikan mesej kepada khalayak global yang berkumpul di ibu kota Perancis itu.
Sukarelawan Olimpik, Lamine Zellag, turut menyuarakan kebimbangan terhadap penderitaan kanak-kanak dan wanita di Gaza serta menekankan keperluan mendesak untuk menyelesaikan konflik tersebut.
Amnesty International sebelum ini turut menyatakan israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin dalam laporan yang diterbitkan Disember lalu. Ia bagaimanapun dinafikan oleh israel yang menegaskan tindakannya selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan pada Khamis bahawa Perancis bercadang mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) September ini, sebagai usaha ke arah keamanan serantau. - Reuters