LAUT MEDITERANEAN, 27 Julai - Sebuah kapal aktivis pro-Palestin dikenali sebagai Handala yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah dipintas oleh tentera laut rejim israel di perairan antarabangsa, menurut kenyataan Koalisi Freedom Flotilla (FFC) dan Kementerian Luar israel.
Kapal tersebut berlepas dari Itali awal Julai lalu dalam usaha mencabar sekatan maritim zionis dan menghantar bantuan kepada penduduk Gaza. Dilaporkankan, kru kapal terdiri daripada ahli parlimen, peguam, doktor dan wartawan dari pelbagai negara.
Rakaman langsung yang dikongsikan FFC menunjukkan kehadiran anggota tentera israel menaiki kapal tersebut ketika ia berada kira-kira 115 kilometer dari pesisir Gaza. Lokasi kejadian disahkan melalui Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal dan padanan visual dengan gambar arkib Handala.
Dua ahli parlimen Perancis yang berada di atas kapal iaitu Gabrielle Cathala dan Emma Fourreau, mengesahkan insiden itu di platform media sosial X. Mereka mendakwa kru kapal ditahan secara tidak sah oleh tentera zionis di perairan antarabangsa dan menyeru Presiden Emmanuel Macron campur tangan segera.
Dalam kenyataan di platform sama, Kementerian Luar israel memaklumkan bahawa tentera lautnya telah menghalang kapal berkenaan daripada “memasuki zon maritim Gaza secara haram” dan kapal kini sedang menuju ke pelabuhan israel dengan selamat. Semua penumpang juga dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Misi terdahulu oleh kapal Madleen, yang turut dikendalikan FFC, juga pernah disekat israel ketika membawa aktivis termasuk Greta Thunberg.
Zionis mendakwa telah membenarkan kemasukan bantuan makanan yang mencukupi, namun menuduh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) gagal mengagihkannya dengan berkesan. PBB pula menyatakan bahawa mereka beroperasi dalam kekangan ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa israel. - Reuters