LIMA, 12 September- Bekas Presiden Peru Alberto Fujimori yang mentadbir negara dengan kuasa tegas dan menghabiskan 16 tahun dalam penjara atas jenayah kemanusiaan, meninggal dunia semalam pada usia 86 tahun di sini.
"Selepas bertarung lama dengan kanser, bapa kami, Alberto Fujimori, baru sahaja pergi menemui Tuhan," kata anak-anaknya Keiko, Hiro, Sachie, dan Kenji Fujimori di platform media sosial X.
"Terima kasih atas segala-galanya, Ayah!" tambah mereka.
Kesihatan Fujimori dilapor merosot dengan cepat selepas menjalani rawatan untuk kanser lidah pada bulan lalu.
Fujimori yang memerintah Peru dari 1990 hingga 2000 dibebaskan dari penjara atas alasan kemanusiaan pada Disember setelah menjalani dua pertiga hukuman penjara 25 tahun.
Semasa pemerintahannya, beliau memainkan peranan utama dalam perang kerajaan menentang kumpulan pemberontak Shining Path dan Tupac Amaru.
Lebih 69,000 orang terkorban dan 21,000 lagi hilang dengan majoriti mangsa adalah orang awam, menurut Suruhanjaya Kebenaran Kerajaan Peru.
Fujimori dihormati oleh sesetengah rakyatnya sebagai penyelamat negara daripada pemberontak dan pemulih ekonomi, namun dikritik seorang autokrat yang memerintah tanpa mempedulikan undang-undang. -AFP