fb fb fb fb fb

Bekas penyanyi popular China dipenjara kerana menghasut

(FOTO hongkongfp.com)

HONG KONG, 31 Ogos - Bekas penyanyi terkenal Hong Kong yang kini menjadi aktivis demokrasi dipenjarakan lebih dua tahun pada Khamis selepas mengaku bersalah diatas tuduhan menghasut dan penggubahan wang haram.

Tommy Yuen, bekas anggota kumpulan popular Cpop, E-Kids merupakan penyokong kepada gerakan demokrasi di bandar raya itu pada 2019 sebelum Beijing mengambil tindakan terhadap pergerakan itu dan mengenakan undang-undang keselamatan negara.

Hakim Ernest Lin dalam penghakimannya pada Khamis berkata perbuatan Yuen menyebabkan kemudaratan kepada masyarakat kerana menggunakan populariti yang dimilikinya bagi menyebarkan mesej antikerajaan.

Menurut hakim, Yuen juga memuatnaik mesej jelik di media sosial yang dianggap menghina pegawai awam dan keselamatan kerajaan.

Dia memuatnaik mesej meraikan kematian seorang pegawai polis dan mencela majistret yang mengendalikan kes keselamatan negara berkenaan, kata hakim.

Hakim turut membidas tindakan Yuen yang menggunakan siaran media sosialnya bagi membangkitkan sentimen kebencian masyarakat kepada kerajaan.

Selain itu, penyanyi berusia 43 tahun itu turut didapati menyalahgunakan derma awam hasil sumbangan orang ramai bertujuan membantu mangsa rusuhan.

Sebaliknya, Yuen menggunakan sebahagian besar dana berkenaan yang berjumlah lebih HK$1 juta bagi aktiviti perjudian.

Yuen ditahan pada Februari tahun lalu dan diletakkan dalam tahanan sejak itu. Dia mengaku bersalah pada Julai lalu.

Sejak 2020, lebih 30 orang telah didakwa atas tuduhan menghasut, kebanyakannya bukan individu berprofil tinggi.

Undang-Undang tersebut meliputi perbuatan, ucapan atau penerbitan yang dianggap mempunyai "niat menghasut" termasuk menimbulkan "ketidakpuasan hati , menggalakkan "niat jahat" dan menghasut keganasan.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB menimbulkan kebimbangan berkaitan "tafsiran yang terlalu luas berkaitan kesalahan hasutan dan undang-undang keselamatan yang dikenakan Beijing.

Sebelum ini, Hong Kong telah mempertahankan undang-undang berkenaan yang diperlukan untuk memulihkan ketenteraman dan kestabilan selepas pergolakan pada 2019.-AFP


(Penyanyi Pop China, Tommy Yuen/FOTO news.rthk.hk)

Media Baharu