fb fb fb fb fb

Konflik Palestin-Israel: Lelaki Palestin ditembak mati selepas rempuh tentera Israel

(FOTO AFP)

BAITULMAQDIS, 31 Ogos- Seorang warga Palestin ditembak mati selepas didakwa merempuh tiga askar Israel menggunakan trak.

Kejadian tersebut berlaku berhampiran pos pemeriksaan di Tebing Barat pada Khamis.

Menurut Pasukan Pertahanan Israel,(IDF) pasukan berkenaan sedang mengadakan kawalan di pos pemeriksaan berhampiran Hebron sebelum sebuah trak merempuh pasukan berkenaan.

Jurucakap pasukan tersebut, Avi Biton berkata pemandu trak berkenaan merupakan warga Palestin dan mempunyai permit kerja dengan Israel.

Sementara itu, Polis Israel berkata pegawainya telah menerima laporan berkaitan insiden langgar lari berhampiran pusat pemeriksaan Maccabim.

Menurut polis Israel dalam kenyataannya, pemandu warga Palestin itu melarikan diri sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan di Hashmonaim, barat Ramallah.

Dalam satu kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga askar yang terbunuh dan memuji pasukan keselamatan atas tindakan pantas yang membawa kepada pembunuhan penyerang.

Perkhidmatan Kecemasan Magen David Adom, sebelum ini berkata tiga lelaki muda dilanggar kenderaan itu, termasuk seorang yang berada dalam keadaan "kritikal".

Keganasan yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin telah meningkat sejak awal tahun ini, dan serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas seorang warga Palestin berusia 14 tahun menikam orang awam di stesen kereta api ringan di Baitulmaqdis.

Konflik Israel-Palestin setakat ini telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 224 rakyat Palestin tahun ini.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu