fb fb fb fb fb

Shapps dinamakan sebagai Setiausaha Pertahanan UK baharu

(FOTO AFP)

LONDON, 31 Ogos - Grant Shapps dilantik sebagai Setiausaha Pertahanan United Kingdom, (UK) baharu menggantikan Ben Wallace yang meletakkan jawatan selepas dikritik umum susulan sokongannya terhadap perang Ukraine-Rusia.

Pejabat Perdana Menteri, Rishi Sunak mengumumkan pelantikan Shapps, kira-kira sejam selepas dia dilihat memasuki 10 Downing Street.

Sejurus selepas pengumuman tersebut, Shapps memuatnaik kenyataan di media sosialnya dan berkata, dia berbesar hati dengan pelantikannya dan turut memuji sumbangan yang telah dilakukan Wallace kepada pertahanan negara berkenaan.

"Saya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan anggota lelaki dan wanita yang berani dalam angkatan tentera kita yang mempertahankan keselamatan negara kita," katanya di X, sebelum ini di Twitter.

Shapps juga turut berikar bagi meneruskan agenda yang ditinggalkan Wallace iaitu meneguhkan sokongan UK terhadap Ukraine dalam usaha menentang pencerobohan Rusia terhadap negara tersebut.

"UK akan terus menyokong Ukraine dalam perjuangan mereka menentang pencerobohan biadab Putin", katanya di media sosial.

Shapps, 54, pernah berkhidmat seketika sebagai setiausaha dalam negeri Oktober lalu dalam kerajaan singkat Liz Truss.

Shapps turut pernah menjadi Setiausaha pengangkutan di bawah bekas Perdana Menteri, Boris Johnson.

Shapps juga merupakan setiausaha perniagaan di bawah Sunak sebelum mengambil alih jawatan Menteri keselamatan tenaga dan sifar bersih negara itu.

Minggu lalu, Shapps melawat Kyiv dan menjanjikan sokongan UK untuk menjana loji janakuasa Ukraine sepanjang musim sejuk.

Sementara itu, menerusi sepucuk surat penerimaan peletakan jawatan Wallace, Perdana Menteri UK, Rishi Sunak memuji "dedikasi dan kemampuan yang ada pada Wallace sehingga membawa kepada peranan besar negara itu dalam sokongannya terhadap Ukraine.

"Anda telah berkhidmat kepada negara dengan cemerlang," kata Sunak, sambil menambah bahawa Wallace telah mengetahui niat sebenar Putin di Ukraine sebelum diketahui dunia".

Wallace, bekas pegawai tentera berusia 53 tahun dan sekutu rapat bekas perdana menteri Boris Johnson, telah menjadi pilihan UK untuk menggantikan Jens Stoltenberg sebagai setiausaha agung NATO.

Tetapi dia gagal mendapatkan sokongan penting Amerika Syarikat (AS) untuk menggantikan Stoltenberg.

Stoltenberg kini telah melanjutkan tempohnya sebagai ketua pakatan berkenaan.

Wallace, seorang ahli parlimen popular disebut-sebut sebagai pemimpin parti yang berpotensi, adalah setiausaha pertahanan Konservatif paling lama berkhidmat selepas bekas Perdana Menteri Winston Churchill.

Pada Julai lalu, Wallace mengumumkan akan mengundurkan diri sebelum rombakan kerajaan seterusnya dan tidak bertanding dalam pilihan raya umum yang dijangka pada 2024.-AFP


(Setiausaha Pertahanan baharu UK, Grant Shapps/FOTO AFP)

Media Baharu