SAN ISIDRO, 25 Mac – Bekas pengawal peribadi legenda bola sepak dunia, mendiang Diego Maradona, ditahan Selasa lalu selepas didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan yang didakwa cuai ketika menjaga ikon Argentina itu.
Julio Coria, yang pernah berada dekat dengan Maradona sepanjang tempoh hidupnya, dibawa keluar dari mahkamah di San Isidro dalam keadaan bergari.
Ini selepas hakim menyokong hujahan pendakwa bahawa dia telah berbohong di bawah sumpah.
Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020 ketika berusia 60 tahun di rumahnya.
Dia ketika itu sedang menjalani pemulihan di San Isidro selepas menjalani pembedahan otak.
Punca kematian disahkan sebagai kegagalan jantung dan edema pulmonari akut, yang mana cecair memenuhi paru-paru beliau.
Tragedi itu berlaku hanya dua minggu selepas beliau menjalani pembedahan.
Pasukan perubatan seramai tujuh orang yang menjaga Diego Maradona kini dibicarakan atas tuduhan kecuaian jenayah.
Coria sebelum ini mendedahkan bahawa dia telah cuba menyelamatkan nyawa Maradona dengan melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut sebelum disahkan meninggal dunia pakar perubatan.
Namun, Coria kemudian mencetuskan kontroversi apabila menyatakan dia tidak pernah berkomunikasi dengan Dr Leopoldo Luque yang merupakan doktor peribadi Maradona yang turut didakwa dalam kes ini.
Siasatan mendedahkan wujudnya beberapa mesej teks antara kedua-duanya sebelum dan selepas kematian Maradona.
Akibat pendedahan tersebut, Coria kini ditahan atas tuduhan memberi keterangan palsu (sumpah bohong).
Sekiranya sabit kesalahan, kesemua tujuh tertuduh berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun atas pertuduhan membunuh dengan niat. - AFP