fb fb fb fb fb

Beijing rekod hujan paling lebat sejak 140 tahun

(Foto AFP)

BEIJING, 2 Ogos- Hujan yang melanda Beijing sejak kebelakangan ini adalah yang paling lebat direkodkan dalam tempoh 140 tahun.

Menurut Perkhidmatan Meteorologi Beijing, jumlah maksimum taburan hujan di Takungan Wangjiayuan di Changping, adalah 744.8 milimeter.

Jumlah terbesar yang direkodkan sebelum ini ialah 609 milimeter pada 1891, tambah perkhidmatan itu.

Ribut Doksuri, yang sebelum ini adalah taufan kuat, melanda China ke arah utara selepas melanda wilayah Fujian selatan pada minggu lalu dan sebelum itu, melanda Filipina.

Hujan lebat mula melanda Beijing dan kawasan sekitar pada Sabtu.

Purata hujan yang dicatat selama 40 jam, menyamai jumlah hujan, sepanjang bulan Julai.

Media kerajaan memberi amaran minggu lalu bahawa 130 juta orang akan terjejas disebabkan hujan lebat di seluruh utara China.

Kawasan pinggir bandar Beijing dan kawasan sekitarnya kekal teruk dilanda hujan lebat.

Media kerajaan melaporkan 974,400 orang telah dipindahkan di ibu negara dan wilayah jiran Hebei.

Bagaimanapun pihak berkuasa menarik balik amaran merah banjir pagi tadi kerana aliran air di sungai-sungai utama telah berada di bawah paras amaran", lapor Xinhua.


(Keadaan Sungai Yongding melimpah selepas hujan lebat di Beijing/AFP)

Sementara itu, stesen penyiar kerajaan CCTV melaporkan, fenomena tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang di Beijing. Dua daripadanya maut ketika menjalankan operasi menyelamat.

Manakala, 13 orang masih hilang dan 14 lagi ditemukan selamat.

Presiden China Xi Jinping menggesa segala usaha untuk menyelamatkan mereka yang hilang atau terperangkap disebabkan hujan.

Beliau melawat ke lokasi operasi bantuan di Mentougou di Beijing, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas.

Sementara itu, Naib Perdana Menteri Zhang Guoqing menggesa usaha menyeluruh untuk menyelamatkan mangsa yang masih hilang.

"Keutamaan buat masa ini adalah untuk menyelamatkan nyawa orang ramai, mengejar masa untuk mencari orang yang hilang atau terperangkap dan meminimumkan kemalangan jiwa," kata Zhang, menurut agensi berita negara Xinhua.

China mengalami cuaca ekstrem dan mencatat rekod suhu pada musim panas ini. Saintis menyifatkan keadaan itu bertambah buruk oleh perubahan iklim.

Negara itu kini dalam keadaan berjaga-jaga menjelang kemunculan taufan Khanun, ribut keenam pada tahun ini, yang menghampiri pantai timur China.- AFP

Media Baharu