fb fb fb fb fb

PM Lee beri jaminan kerajaan akan bertindak walaupun jejaskan parti

(Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong/BERNAMA)

SINGAPURA, 2 Ogos- Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata untuk kebaikan negara, kerajaan akan melaksanakan apa yang perlu dilakukan mengikut undang-undang walaupun ia mungkin memalukan dan menjejaskan parti dari segi politik.

Lee berkata demikian dalam satu kenyataan di Parlimen mengenai siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) yang melibatkan Menteri S. Iswaran dan peletakan jawatan Speaker Tan Chuan-Jin dan Ahli Parlimen (MP) Cheng Li Hui.

“Saya tidak gentar atau teragak-agak untuk menjalankan tugas saya, untuk memastikan sistem kami teguh dan bersih. Ini adalah caranya bagi Kerajaan PAP (Parti Tindakan Rakyat) untuk terus layak mendapat kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Singapura kepada kami,” katanya.

Lee berkata berdasarkan siasatan dan peletakan jawatan itu, "PAP terjejas, namun kami akan membuktikan kepada rakyat Singapura bahawa kami akan menegakkan standard dan melakukan perkara yang betul supaya kepercayaan dapat dikekalkan dan sistem Singapura terus berfungsi dengan baik."

“Ini adalah pendekatan saya dan saya yakin ia akan menjadi pendekatan pengganti saya juga. Inilah cara kami untuk memastikan Singapura selamat, kuat dan makmur untuk tahun-tahun mendatang,” kata Lee.


(Foto hiasan)

Mengenai siasatan CPIB yang melibatkan Iswaran, Lee berkata: "penyiasatan masih diteruskan."

“Saya tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai kes itu supaya tidak menjejaskan siasatan dalam apa cara sekalipun. Saya meminta Ahli-ahli Dewan ini dan orang ramai supaya mengelak daripada sebarang spekulasi dan sangkaan.

“Kita perlu membenarkan CPIB melakukan tugasnya menyiasat perkara itu sepenuhnya, teliti dan bebas. Apabila siasatan selesai, CPIB akan menyerahkan hasil siasatannya kepada Jabatan Peguam Negara yang akan memutuskan tindakan seterusnya.

“Apa pun hasilnya, tindakan akan ambil. Itulah cara kami,” katanya.

Lee pada awal Julai mengarahkan menteri berkenaan bercuti sehingga siasatan selesai.

Selain itu, Lee turut memaklumkan kepada Dewan beliau kemudiannya melarang menteri itu bertugas, dengan pengurangan gaji sebanyak $8,500 sebulan, sehingga diberitahu kelak.

Sementara itu, Seah Kian Peng, Ahli Parlimen Kawasan Perwakilan Kumpulan Marine Parade, mengangkat sumpah hari ini sebagai Speaker ke-11 republik itu.- BERNAMA

Media Baharu