(Foto hiasan/BERNAMA)
JAKARTA, 2 Ogos- Mesyuarat ASEAN mengenai risiko bencana bermula di wilayah Yogyakarta, Indonesia pada Selasa dengan agenda utama bertumpu kepada latihan simulasi kecemasan untuk mitigasi bencana.
Mesyuarat yang dikenali sebagai Latihan Simulasi Respons Kecemasan Bencana ASEAN (ARDEX) itu yang berlangsung dari 1 hingga 4 Ogos, dihadiri lebih 1,000 orang termasuk peserta dari Indonesia dan wakil dari negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
"Kami berharap negara anggota ASEAN dapat berkongsi dan memindahkan pengetahuan mengenai pengurangan risiko bencana antara satu sama lain. Melalui ARDEX, kami juga akan mencari jalan untuk menangani dan mengurangkan risiko bencana dengan mengumpul pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang berkaitan," kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) Leftenan Jeneral Suharyanto, lapor Xinhua.
ASEAN wajar menimbang inovasi teknologi dalam menangani ancaman bencana, dengan pelaksanaannya harus selari dengan keperluan dan budaya tempatan di setiap negara anggota, katanya.
Suharyanto berkata Yogyakarta dipilih menjadi tuan rumah ARDEX tahun ini kerana wilayah itu sangat terdedah kepada gempa bumi, dengan gempa bumi kuat pada 2006 mengorbankan lebih 5,700 orang.- BERNAMA-XINHUA
(Foto hiasan)