fb fb fb fb fb

'Bebaskan saya,' suspek tembak jatuh MH17 warga Rusia tegaskan tiada kaitan dengan tragedi 17 Julai 2014

THE HAGUE, 11 Jun- Seorang suspek warga Rusia yang dituduh menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17 memberitahu hakim Belanda pada hari Jumaat bahawa dia "tiada kaitan dengan bencana itu”.

Oleg Pulatov adalah salah seorang daripada empat individu yang dibicarakan secara ‘in absentia’ kerana menembak jatuh pesawat itu pada Julai 2014 ketika ia melepasi timur Ukraine yang dilanda perang, membunuh kesemua 298 penumpang di dalamnya.

Perbicaraan itu diadakan di Belanda kerana Boeing 777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan kebanyakan mangsa adalah warga Belanda.

"Saya tidak bersalah. Saya tiada kaitan dengan bencana 17 Julai 2014," kata Pulatov, dalam satu kenyataan video yang dimainkan di mahkamah.

"Saya bekerjasama sepenuhnya dalam prosedur (mahkamah) dan terdapat bukti yang tidak dapat dinafikan bahawa pihak pendakwaan tidak menjelaskan keadaan penuh nahas itu," tambah Pulatov, yang bercakap dalam bahasa Rusia.

"Ia adalah matlamat utama pihak pendakwaan untuk mendapatkan sabitan dengan apa cara sekalipun," kata Pulatov, berpakaian kemeja biru dan jaket dan bercakap terus kepada kamera.

"Bebaskan saya," dia kemudian memberitahu hakim pada perbicaraan itu, yang dibuka di mahkamah keselamatan tertinggi berhampiran lapangan terbang Schiphol pada Mac 2020.

Keputusan masih belum dapat dijangka sehingga sekurang-kurangnya 17 November, kata hakim pada hari Jumaat.

Hakim yang mengetuai perbicaraan Hendrik Steenhuis berkata "kes itu telah memberi kesan besar kepada semua pihak di dalam bilik mahkamah mahupun di luar."

Warga Rusia Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Pulatov serta warga Ukraine Leonid Kharchenko semuanya enggan hadir di mahkamah dan sedang dibicarakan tanpa hadir.

Hanya Pulatov mempunyai perwakilan undang-undang.

Pada Khamis, peguam Pulatov Sabine ten Doesschate berkata pendakwa gagal membuktikan peluru berpandu BUK buatan Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

Pendakwa raya telah menggesa hukuman penjara seumur hidup bagi empat lelaki itu.

Girkin, 51, juga dikenali dengan nama samarannya "Strelkov", adalah suspek paling berprofil tinggi, bekas perisik Rusia dan peminat lakonan semula sejarah yang membantu memulakan perang di Ukraine.

Dubinsky, 59, yang juga dikaitkan dengan perisikan Rusia, didakwa berkhidmat sebagai ketua perisikan tentera pemisah.

Pulatov, 55, adalah bekas tentera pasukan khas Rusia dan salah seorang timbalan Dubinsky.

Kharchenko, 50, didakwa mengetuai unit pemisah di timur Ukraine.- AFP


(Tragedi 17 Julai 2014 mengorbankan kesemua 298 penumpang termasuk anak kapal)

Media Baharu