XUZHOU, 24 Februari- Seorang bayi di sebuah hospital bersalin di sini, wilayah Jiangsu, China dilahirkan dalam keadaan luar biasa pada 17 Februari lalu apabila kantung ketubannya kekal utuh sepenuhnya semasa pembedahan caesarean.
Fenomena berkenaan dikenali sebagai kelahiran "en-caul" yang jarang berlaku, dengan anggaran satu dalam setiap 80,000 kelahiran.
Menurut petugas perubatan, ini merupakan kali pertama mereka menyaksikan kelahiran sebegini sepanjang kerjaya mereka dan memberi gelaran "shell baby" kepada bayi berkenaan.
Bayi tersebut turut dibandingkan dengan Nezha, watak mitologi China yang dikatakan lahir dalam keadaan sama. Dalam kepercayaan lama, kelahiran seperti itu dianggap membawa tuah dan dikaitkan dengan kehidupan luar biasa.
Dari sudut perubatan moden, kelahiran "en-caul" memberikan perlindungan kepada bayi dengan mengurangkan tekanan dan pendedahan kepada persekitaran luar ketika proses kelahiran.
Bagaimanapun pakar perubatan menegaskan walaupun kelahiran "en-caul" boleh memberikan manfaat kepada bayi, kejadian jarang berlaku itu memerlukan kepakaran serta pengalaman klinikal tinggi bagi memastikan keselamatan ibu dan anak. -Reuters