fb fb fb fb fb

Bawa peminat Rusia naik pentas, The Killers mohon maaf

(FOTO REUTERS)

TBILISI 16 Ogos - Kumpulan rock alternatif Amerika, The Killers memohon maaf selepas membawa pemain dram Rusia yang juga peminat ke atas pentas semasa persembahan di Georgia.

Kumpulan itu juga turut membuat permohonan maaf kerana menyifatkan peminat mereka sebagai "adik- beradik".

Tindakan tersebut telah mencetuskan ejekan daripada penonton yang hadir pada konsert berkenaan.

Kumpulan dari Amerika Syarikat (AS) yang pernah tercalon untuk Anugerah Grammy industri muzik sebanyak tujuh kali itu telah membuat persembahan pada Selasa di Resort Laut Hitam Batumi semasa konsert jelajah Eropah.

(FOTO REUTERS)

"Kami tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa pun," jelas kumpulan itu menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, sambil menambah bahawa kumpulan berkenaan mempunyai tradisi menjemput peminat untuk bermain dram.

"Kami menyedari bahawa menyatakan semua penonton dan peminat The Killers adalah 'saudara' telah disalah tafsir," tambah kumpulan itu.

Kenyataan tersebut merujuk kepada penyataan ketua kumpulan, Brandon Flowers kepada penonton yang mengatakan dia tidak mahu keadaan bertukar menjadi lebih buruk.

"Saya melihat anda sebagai abang dan kakak saya,"ujar Flowers.

Bunyi ejekan dan siulan memenuhi konsert menerusi video yang diterbitkan oleh agensi berita RIA negara Rusia.

Sementara itu, video di media sosial menunjukkan para penonton berpusu-pusu meninggalkan konsert tersebut dengan kata-kata cemuhan.

Album kumpulan itu telah berjaya terjual berjuta-juta unit dengan kebanyakan lagunya mengungguli carta sejak ditubuhkan di bandar Las Vegas pada awal tahun 2000.

Georgia mempunyai konflik panjang dengan Rusia dan diburukkan lagi oleh pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada Februari 2022 dan kemasukan besar pendatang Rusia yang melarikan diri dari negara Komunis itu.-REUTERS

Media Baharu