LIN, 16 Ogos – Di bawah perairan biru Tasik Ohrid, "Mutiara Balkan", para saintis telah menemui apa yang mungkin merupakan salah satu penempatan perkampungan terawal di Eropah dan cuba menyelesaikan misteri mengapa ia berlindung di sebalik kubu pertahanan.
Ahli arkeologi percaya, penempatan rumah panjang kira-kira 8,00 tahun lalu di sepanjang pantai Albania di tasik itu menjadikannya perkampungan tepi tasik tertua yang pernah ditemui di Eropah setakat ini.
Pentarikhan radiokarbon dari tapak tersebut menunjukkan bahawa ia sudah wujud antara 6000 dan 5800 sebelum Masihi (SM).
"Ia beberapa ratus tahun lebih tua daripada tapak kediaman tasik yang diketahui sebelum ini di kawasan Mediterranean dan Alpine," kata seorang Profesor arkeologi dari Universiti Bern Switzerland, Albert Hafner.
“Berdasarkan pengetahuan kami, ia adalah yang tertua di Eropah,” katanya kepada AFP.
Kampung-kampung tertua lain seperti itu ditemui di Pergunungan Alps Itali dan wujud sekitar 5000 sebelum masihi (SM), kata pakar perkampungan tasik Neolitik Eropah.
Hafner dan pasukan arkeologi Switzerland dan Albania telah menghabiskan empat tahun lalu melakukan kerja-kerja penggalian di Lin di Tasik Ohrid, di sebelah Albania yang melintasi sempadan pergunungan Macedonia Utara dan Albania.
Penempatan itu dipercayai menempatkan antara 200 dan 500 rumah yang dibina di atas tiang di permukaan tasik atau di kawasan yang kerap dinaiki air.-AFP