HARARE, 18 Jun- Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan berpuluh-puluh yang lain cedera di Zimbabwe apabila bas membawa jemaah gereja terbakar, semalam.
Jurucakap polis, Paul Nyathi berkata, lebih 50 orang cedera dengan 14 lagi dimasukkan ke hospital.
"Bas itu membawa berpuluh-puluh jemaah Anglikan ketika kebakaran berlaku, menyebabkan lapan orang terbakar sehingga tidak dapat dikenali.
"Kami tidak dapat mengenal pasti siapa sebenarnya yang mati dan DNA (ujian asid deoksiribonukleik) perlu dijalankan terlebih dahulu. Dua orang juga dilaporkan hilang," katanya.
Nyathi berkata, punca kebakaran masih belum diketahui dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.
"Butiran lanjut akan dikeluarkan," kata Nyathi.
Kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke wilayah Manicaland selepas menghadiri Pesta Tahunan Bernard Mizeki di Marondera, sebuah bandar kecil berhampiran dekat sini.
Upacara keagamaan tahunan itu dihadiri lebih 20,000 jemaah dari seluruh pelusuk dunia. -AFP