fb fb fb fb fb

Bantuan masuk ke Gaza merosot 50 peratus pada Februari - UNRWA

Foto Hiasan/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza pada bulan ini berkurangan sebanyak 50 peratus berbanding Januari, menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

"Bantuan sepatutnya meningkat bukan berkurangan untuk menangani keperluan besar 2 juta rakyat Palestin dalam keadaan kehidupan yang sangat terdesak," kata Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini di X pada Isnin.

Beliau berkata antara halangan kepada penghantaran bantuan adalah kerana kurangnya keazaman politik, penutupan lintasan sempadan secara berkala, kekurangan keselamatan disebabkan oleh operasi ketenteraan dan ketenteraman awam terjejas.

Beliau berkata gencatan senjata serta "menarik balik kepungan untuk membolehkan bantuan menyelamatkan nyawa dan bekalan komersial yang bermakna sepatutnya sudah lama dilakukan."

UNRWA dalam kemas kini situasi terkini berkata secara purata hampir 98 trak memasuki wilayah terkepung itu setiap hari pada bulan ini – jauh di bawah sasaran 500 setiap hari.

Agensi itu juga melaporkan bahawa operasi darat dan pertempuran sengit berterusan di seluruh Semenanjung Gaza, terutamanya di utara Gaza, Deir al Balah dan Khan Younis.

"Serangan udara yang meningkat di Rafah, termasuk di kawasan perumahan tanpa amaran telah meningkatkan kebimbangan bahawa ia akan menyukarkan operasi kemanusiaan kerana sumber yang terhad.

"Hampir 1.5 juta orang berada di Rafah, lebih enam kali ganda penduduk sebelum 7 Okt lepas," katanya.

Sementara itu, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Isnin melaporkan bahawa bayi-bayi baru lahir di Gaza meninggal dunia kerana ibu mereka tidak dapat menjalani pemeriksaan pranatal atau selepas bersalin manakala pengeboman dan kebimbangan menyebabkan kelahiran pramatang.

Agensi itu berkata hospital bersalin Al Helal Al Emirati di Rafah, satu daripada beberapa hospital yang masih berfungsi di wilayah berkenaan hanya mempunyai lima katil untuk ibu bersalin.

Menurut agensi itu, walaupun kekurangan bekalan asas seperti cadar, kemudahan itu baru-baru ini menerima 78 kelahiran bayi dalam satu malam sahaja.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas membunuh sekurang-kurangnya 29,782 penduduk Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran serta kekurangan barangan keperluan. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI