(Penarik beca menolak beca mereka untuk membeli petrol dari stesen minyak, di tengah-tengah krisis ekonomi Sri Lanka,
di Colombo, Sri Lanka/REUTERS)
COLOMBO, 29 Julai- Bank Dunia tidak akan menawarkan pembiayaan baharu kepada Sri Lanka melainkan negara kepulauan yang muflis itu melakukan "pembaharuan struktur yang mendalam" untuk menstabilkan ekonominya yang merudum.
Bank Dunia berkata walaupun bimbang tentang kesan krisis terhadap rakyat Sri Lanka, ia tidak bersedia untuk memberi dana tambahan sehingga kerajaan menyelesaikan reformasi yang diperlukan.
"Sehingga rangka kerja dasar makroekonomi yang mencukupi disediakan, Bank Dunia tidak merancang untuk menawarkan pembiayaan baharu kepada Sri Lanka," kata pemberi pinjaman itu dalam satu kenyataan.
"Ini memerlukan pembaharuan struktur yang mendalam yang memberi tumpuan kepada penstabilan ekonomi dan juga menangani punca struktur yang mencetuskan krisis ini," tambahnya.
Bank Dunia telah menyalurkan AS$160 juta daripada pinjaman sedia ada untuk membiayai ubat-ubatan yang diperlukan segera, gas masak dan makanan murid di sekolah.
Sri Lanka kini dalam rundingan jamin keluar (bailout) dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), namun proses itu mungkin mengambil masa berbulan-bulan.
Sri Lanka mengalami kemerosotan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan 22 juta penduduknya mengalami kekurangan makanan dan bahan bakar selama berbulan-bulan, gangguan bekalan elektrik yang berterusan dan inflasi yang berleluasa.
Negara Asia Selatan itu gagal membayar hutang asingnya sebanyak AS$51 bilion pada April dan bantahan besar-besaran yang dilancarkan rakyat pada awal bulan ini memaksa Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke luar negara dan meletak jawatan. -AFP
(Bank Dunia tolak pembiayaan baharu untuk Sri Lanka)