(Seorang wanita membeli belah di sebuah pasar raya di tengah-tengah inflasi mencecah
lebih 60% dalam tempoh 12 bulan lalu, di Buenos Aires, Argentina / REUTERS)
LONDON, 8 September- Bank Dunia meluluskan pinjaman berjumlah AS$900 juta untuk Argentina bagi enam bulan akan datang, yang akan ditambah kepada AS$1.1 bilion yang diluluskan tahun ini.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat antara Pengarah Urusan Operasi Bank Dunia, Axel van Trotsenburg, dan Menteri Ekonomi Argentina, Sergio Massa, di Washington.
"Massa dan van Trotsenburg mengesahkan komitmen mereka untuk terus bekerjasama bagi menggalakkan pertumbuhan inklusif dan mampan di Argentina," kata bank itu dalam kenyataan tersebut.
Massa berterima kasih kepada Bank Dunia dan van Trotsenburg atas sokongan dan pengiktirafan terhadap langkah-langkah yang diambil untuk menstabilkan makroekonomi dan mengukuhkan rizab.
Beliau menerusi ciapan di Twitter berkata mereka turut membincangkan program makroekonomi dan bersetuju untuk terus berusaha mengembangkan pembiayaan bagi pembangunan inklusif negara dalam projek air dan sanitasi, perlindungan sosial, kesihatan, pengangkutan dan pendidikan.
Bank Dunia telah meluluskan pinjaman bernilai AS$3.73 bilion yang tertumpu kepada program pelaburan dan pertumbuhan termasuk sokongan kepada mereka yang paling memerlukan. -REUTERS
(FOTO REUTERS)