GAMPAHA 30 November – Situasi banjir di Sri Lanka terus memburuk apabila angka korban akibat banjir dan tanah runtuh meningkat kepada 159 orang, manakala 203 lagi masih hilang selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari susulan Taufan Ditwah.
Lebih setengah juta penduduk di seluruh negara terjejas, dengan ribuan rumah ditenggelami air dan bekalan elektrik terputus di kawasan yang dilanda banjir.
Di Gampaha, penduduk terpaksa meredah air separas lutut apabila paras air terus meningkat meskipun taufan telah bergerak menjauhi Sri Lanka.
Aliran air dari kawasan hulu menyebabkan banjir di Colombo dan daerah berhampiran terus bertambah buruk.
Beberapa kumpulan sukarelawan membina dapur sementara bagi menyediakan makanan kepada penduduk yang terkandas.
Seorang penduduk Gampaha, Malika Kumari, 40, berkata hujan turun tanpa henti selama tiga hari.
“Kami sudah pindahkan barang ke tingkat atas, tetapi itu pun tidak membantu. Semuanya ditenggelami air,” katanya.
Pihak meteorologi memberi amaran bahawa hujan dijangka berterusan sepanjang hujung minggu, sekali gus meningkatkan kebimbangan kemungkinan banjir lebih serius di kawasan yang sudah pun dinaiki air. -REUTERS