LOS ANGELES, 30 November - Empat orang maut, manakala 10 cedera dalam kejadian tembakan di sebuah perhimpunan keluarga di California pada Sabtu.
Polis menyifatkan ia sebagai "serangan yang disasarkan".
Jurucakap Pejabat Syerif Daerah San Joaquin, Heather Brent mengesahkan, kejadian berlaku di sebuah dewan di Stockton, timur laut San Francisco sebelum pukul 6:00 petang.
Mangsa yang turut melibatkan kanak-kanak telah dibawa ke beberapa buah hospital.
"Apa yang dapat kami sahkan pada masa ini ialah terdapat sebuah dewan bankuet di mana sebuah keluarga sedang meraikan sesuatu. Seramai 14 mangsa dalam kejadian tembakan ini. Empat daripada mereka telah meninggal dunia.
"Tanda awal menunjukkan bahawa ini mungkin serangan yang disasarkan. Penyiasat sedang meneroka semua kemungkinan pada masa ini," kata Brent dalam taklimat kepada media.
Dalam hantaran di media sosial pula, pejabat syerif berkenaan memaklumkan, pasukan penyiasat sedang berusaha mengenal pasti keadaan yang membawa kepada tragedi ini.
"Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat, rakaman video atau yang mungkin menyaksikan apa sahaja bahagian dalam kejadian ini diminta menghubungi Pejabat Syerif Daerah San Joaquin dengan segera," menurut kenyataan itu.
Setakat ini, tiada suspek dikenal pasti.
Gabenor California, Gavin Newsom telah dimaklumkan mengenai kejadian. -AFP