MOSCOW, 6 April- Pihak berkuasa tempatan di kawasan pergunungan Ural Russia, Orenburg, menggesa penduduk di tepi sungai berpindah sejak semalam kerana air yang semakin meningkat di sungai Ural membanjiri kampung dan menyebabkan empangan pecah.
Dalam mesej video yang disiarkan pada aplikasi Telegram, Datuk Bandar Orenburg, Sergei Salmin berkata, keadaan itu 'kritikal', dan penduduk yang menetap di tepi sungai harus berpindah dengan segera.
"Jangan tunggu hingga nyawa terancam! Pergi! Anda perlu berpindah secepat mungkin," kata Salmin, yang bandarnya terletak 1,500 km (km) ke timur Moscow, dekat dengan sempadan Russia dan dengan Kazakhstan.
Katanya, 300 rumah sudah dinaiki air di wilayah pergunungan Siberia dan Ural Russia, termasuk wilayah Orenburg dan bahagian jiran Kazakhstan yang sememangnya bergelut dengan banjir sejak kebelakangan ini.
Darurat diisytiharkan di wilayah Orenburg, kata Kementerian Kecemasan negara itu, dan kakitangan kementerian membantu 3,500 orang yang terjejas akibat banjir di seluruh negara sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Di bandar Orsk, 276km ke timur Orenburg, sebuah empangan pecah, mengancam sebahagian daripada bandar yang mempunyai kira-kira 230,000 penduduk itu ditenggelami air.
Agensi berita negara TASS, yang memetik Kementerian Kecemasan, melaporkan bahawa sehingga 4,000 rumah menempatkan 10,000 penduduk di kawasan pinggir bandar Orsk boleh ditenggelami air jika empangan itu pecah.
Kementerian kecemasan tempatan berkata ia sedang memindahkan penduduk zon berpotensi banjir ke tempat lebih selamat.
Rakaman tidak disahkan yang tersebar di Telegram menunjukkan air mencurah-curah dari celah retakan empangan tanah yang cetek berhampiran Orsk. - REUTERS