fb fb fb fb fb

Banjir: Ribuan penduduk Sydney diarah berpindah

(Keadaan banjir di Camden, Sydney pada 3 Julai 2022/AFP)

SYDNEY, 4 Julai- Perkhidmatan kecemasan Australia mengarahkan ribuan penduduk Sydney berpindah ke lokasi lebih selamat susulan sungai utama melimpah, manakala empangan di bandar terbesar Australia tidak lagi mampu menampung air hujan.

Sejak tiga hari lalu, hujan lebat melanda kawasan pantai timur negara itu.

Menurut pihak berkuasa mereka telah menyelamatkan kira-kira 20 orang dalam tempoh 12 jam lalu atau pada hari ke-3 hujan lebat melanda, kebanyakan mereka terperangkap dalam kereta di kebanyakan laluan di New South Wales.

Australia kini berdepan perubahan iklim mendadak termasuk kemarau, kebakaran hutan sehingga menyebabkan kematian, ancaman pelunturan di Great Barrier Reef dan kini banjir yang menjadi kebiasaan kesan perubahan cuaca global.

Keadaan suhu lebih tinggi bermakna atmosfera menjadi lebih lembap seterusnya mengeluarkan lebih banyak hujan.

Menurut Pegawai Kanan Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Ashley Sullivan kira-kira 32,000 penduduk telah diarah berpindah atau bawah amaran pemindahan di New South Wales.

“Kami mendapati paras air sungai naik mendadak, lebih cepat daripada jangkaan,” kata Sullivan kepada stesen penyiaran nasional, ABC.


(Kawasan taman rekreasi di Camden, pinggir Sydney yang dinaiki air pada 3 Julai 2022/AFP)

Paras air di sesetengah kawasan mungkin melebihi paras direkod dalam bencana banjir di pantai timur Australia dua tahun lalu, yang menyebabkan kematian.

Pada Mac lalu, lebih 20 penduduk terbunuh apabila air banjir mencecah sehingga bumbung kediaman dan banyak kenderaan dihanyutkan air.

Awal pagi tadi, air sungai berwarna coklat telah membanjiri satu kawasan yang luas sehingga menjadi tasik di pinggir bandar Camden, barat daya Sydney.

Banyak laluan dan jalan raya digenangi air, begitu juga kediaman penduduk.

Semalam, Empangan Warragamba terpaksa melepaskan air takungan kerana melebihi paras bahaya. Empangan tersebut terletak di pinggir barat Sydney dan menyediakan bekalan air minuman di bandar tersebut. –AFP

Berita berkaitan
Banjir di Australia, ribuan rakyat diarah berpindah
Banjir landa Australia, puluhan ribu penduduk dipindahkan, lapan terbunuh

Media Baharu