(Orang ramai melalui jalan yang dinaiki air selepas hujan monsun lebat di Hyderabad, Pakistan/ AP)
KARACHI, 26 Ogos- Hujan monsun dan banjir di Pakistan menjejaskan lebih 30 juta penduduk sejak beberapa minggu lalu, kata Menteri Perubahan Iklim negara itu, Sherry Rehman pada Khamis.
Sambil menyifatkan situasi itu sebagai bencana kemanusiaan yang disebabkan oleh iklim perkadaran epik, Sherry berkata Pakistan menggesa masyarakat antarabangsa membantu negara itu.
Pakistan kini bergelut menghadapi kesan hujan lebat mencetuskan banjir besar sejak bulan lalu yang mengorbankan lebih 900 orang.
"Seramai 33 juta terjejas dalam keadaan berbeza, angka gelandangan terakhir sedang dinilai," Sherry memberitahu Reuters menerusi mesej teks.
Beliau berkata wilayah selatan Sindh, yang paling teruk terjejas dalam beberapa hari lalu memohon satu juta khemah untuk mangsa yang terjejas.
"Selatan Pakistan ditenggelami air, orang ramai pergi ke tempat yang lebih tinggi," katanya.
(Kanak- kanak berlindung berikutan hujan dan banjir semasa musim tengkujuh di daerah
Dera Allah Yar di Jafferabad, Balochistan/ REUTERS)
"Penilaian keperluan sedang dilakukan, kami perlu membuat rayuan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ini bukan tugas satu negara atau satu wilayah, ia adalah bencana yang disebabkan oleh iklim," katanya.
Menteri Perancangan dan Pembangunan, Ahsan Iqbal secara berasingan memberitahu bahawa 30 juta orang terjejas, satu angka yang akan mewakili kira-kira 15 peratus daripada penduduk negara Asia Selatan itu.
Menurut Pejabat bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) agensi PBB dalam kemas kini pada Khamis, hujan monsun menjejaskan kira-kira tiga juta orang di Pakistan yang mana 184,000 dipindahkan ke kem bantuan di seluruh negara.
Usaha pembiayaan dan pembinaan semula akan menjadi cabaran bagi Pakistan yang kekurangan dana, sekali gus memerlukan Tabung Kewangan Antarabangsa meluluskan dana yang sangat diperlukan untuk menjamin Pakistan keluar dari masalah.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) berkata dalam tempoh 24 jam terakhir, 150 kilometer jalan raya rosak di seluruh negara dan lebih 82,000 rumah rosak sebahagian atau sepenuhnya.
Sejak pertengahan Jun, apabila monsun bermula, lebih 3,000 kilometer jalan raya, 130 jambatan dan 495,000 rumah telah rosak, menurut laporan situasi terakhir NDMA, angka yang juga dilaporkan dalam laporan OHCA.
OCHA juga mengingatkan amaran telah dikeluarkan untuk banjir, limpahan sungai dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Pakistan, dan hujan lebat diramalkan untuk dua hari akan datang di kebanyakan kawasan di negara itu.
Sebahagian besar kerosakan ini berlaku di wilayah selatan Sindh. - REUTERS