HAT YAI, 28 November - Seorang wanita Thailand akhirnya berjaya menemui abangnya yang terperangkap selama beberapa hari selepas banjir besar melanda kawasan Hat Yai.
Aey bersama beberapa rakannya meredah air setinggi paras dada untuk menghantar makanan dan bekalan, selepas usaha pasukan penyelamat sebelum ini gagal kerana arus terlalu kuat.
“Saya tak dapat tidur kerana terlalu risau. Bila saya minta bantuan untuk abang saya, pasukan penyelamat beritahu arus terlalu kuat dan mereka tak dapat masuk. Saya memang sangat cemas. Tapi hari ini, bila nampak senyuman dan tahu abang selamat, saya rasa benar-benar lega.”
Air yang mula surut sejak pagi membolehkan mereka memasuki kawasan itu, yang kini dipenuhi lumpur tebal.
“Pegawai yang bertanggungjawab di Hat Yai sebelum ini kata keadaan air masih boleh dikawal dan tak sepatutnya ada masalah. Tapi realitinya, selepas dua tiga jam, air terus naik dan jadi tak terkawal," katanya.
Aey berkata ramai penduduk terpaksa berlindung di bumbung tanpa makanan dan ada wanita hamil yang tidak dapat bantuan.
“Saya sangat simpati dengan penduduk. Ada yang terperangkap di atas bumbung tanpa makanan, ada yang menjerit minta tolong, ada yang hampir bersalin tapi tak dapat bantuan.
"Saya rasa tidak sedap hati dan sangat bimbang. Saya juga dengar ada yang meninggal dalam rumah sendiri. Memang menyedihkan… saya harap perkara begini tak berulang lagi," katanya.
Banjir terburuk di Hat Yai itu turut menyebabkan sebahagian kawasan bergelap dan ratusan penduduk dipindahkan. Ada yang tersadai kerana yakin keadaan akan terkawal.
Operasi bantuan kini dipertingkat dengan penggunaan dron, helikopter, kapal pengangkut pesawat dan konvoi trak bagi menghantar makanan serta ubat-ubatan.
Angka korban di Thailand meningkat kepada 55 orang dan korban siklon di Sumatera meningkat kepada 61 orang. - REUTERS