TEXAS, 10 Julai - Angka korban akibat banjir kilat yang melanda beberapa daerah di Texas kini mencecah sekurang-kurangnya 110 orang, sementara lebih 170 mangsa masih belum ditemui.
Menurut Gabenor Texas, Greg Abbott, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Fokus utama mengesan semua individu yang dilaporkan hilang sejak bencana berlaku pada sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat, 4 Julai lalu.
Di Kerr County, kawasan yang paling terjejas, pihak berkuasa mengesahkan seramai 161 individu masih belum dikesan. Sekurang-kurangnya 95 kematian direkodkan di daerah itu, termasuk 36 kanak-kanak dan remaja yang menghadiri kem musim panas di tebing Sungai Guadalupe.
Lima peserta dan seorang fasilitator dari Kem Mystic masih belum ditemui, selain seorang lagi kanak-kanak yang tidak berkaitan dengan kem tersebut.
Sementara itu, tiga mangsa turut terkorban dalam kejadian banjir kilat berasingan di Ruidoso, New Mexico, apabila paras air Sungai Ruidoso mencecah rekod 20 kaki, menurut Datuk Bandar Lynn D. Crawford.
Pasukan penyelamat menggunakan helikopter, dron dan anjing pengesan dalam usaha mengesan mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah timbunan lumpur dan serpihan. Lebih 2,000 anggota penyelamat digerakkan dalam operasi berskala besar.
Pegawai polis Kerrville, Jonathan Lamb memaklumkan bahawa anggota penyelamat dan sukarelawan telah menyelamatkan ratusan penduduk, termasuk yang dipindahkan dari rumah dan kenderaan yang dinaiki air.
“Ramai yang diselamatkan dengan memecah masuk melalui tingkap kerana air naik terlalu cepat,” katanya.
Presiden Donald Trump dijadual melawat kawasan bencana di Texas pada Jumaat. Beliau turut memaklumkan bahawa puluhan helikopter telah dikerah membantu operasi menyelamat.
Pakar cuaca dari Climate Central, Shel Winkley menjelaskan bahawa faktor geografi dan kemarau luar biasa di kawasan terjejas telah memburukkan impak banjir, kerana tanah yang kering tidak mampu menyerap hujan dengan baik.