MENTOUGOU, 3 Ogos- Chen Xiaoyuan merenung sisa-sisa jambatan di tebing Sungai Yongding di barat Beijing yang pernah menghala ke kampungnya.
Kawasan itu terjejas selepas hujan terburuk di rantau itu dalam beberapa tahun dan membunuh sekurang-kurangnya 20 penduduk tempatan selain memusnahkan infrastruktur serta membanjiri kawasan Beijing dan sekitarnya.
Di perkampungan Chenjiazhuang di barat Beijing, banjir menyebabkan banyak pokok tumbang dan telah merempuh merempuh sebuah jambatan pada Isnin. Kejadian itu menyebabkan binaan itu runtuh, kata Chen.
Ketika ditemui AFP, Chen berkata, "semua penduduk di kampung kami menggunakan jambatan ini setiap hari."
"Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini di sini, walaupun banjir pada 2012," katanya merujuk hujan lebat lebih 10 tahun lalu yang menyebabkan 79 individu terkorban.
Bagaimanapun rumahnya masih kekurangan bekalan elektrik dan air namun Chen masih bernasib baik kerana rumahnya tidak terjejas berikutan banjir itu. Menurut Chen, ramai yang tidak bernasib baik. "Salah seorang bekas rakan sekelas saya hilang dan dia dikhuatiri dihanyutkan oleh arus deras."
Wartawan AFP sempat ke kawasan yang lebih jauh dan mendapati perkampungan Shuiyuzui bergelut dengan kesan hujan itu yang menyebabkan bangunan kediaman dimasuki air. Tiang elektrik yang hampir tumbang terpaksa ditahan menggunakan kayu balak. Ia bagi membolehkan kakitangan kecemasan menghantar air dan makanan kepada penduduk yang terkepung.
Penduduk tempatan mengharungi air berlumpur kira-kira paras pinggang dan menyelamatkan barang-barang mereka untuk dibawa ke tempat penginapan sementara. Berpuluh-puluh kenderaan besar milik polis berada di sepanjang jalan di luar kampung, bagi menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas dan membantu menangani kerosakan di kawasan itu.
Sekitar 100 meter dari kampung itu berlaku tanah runtuh menyebabkan dua landasan kereta api tertimbus dengan tanah dan batuan besar. Jentolak digunakan bagi membersihkan kawasan itu.- AFP
(Pekerja membaiki landasan kereta api selepas banjir di sebuah kampung di Beijing/AFP)