(Foto AFP)
MEXICO, 4 Ogos- Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh manakala 22 lagi cedera selepas bas dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung di barat laut Mexico.
Menurut Agensi Perlindungan Awam di negeri Nayarit, tiga kanak-kanak bawah umur antara yang terbunuh dalam insiden tersebut.
"Bas berkenaan ketika itu membawa penduduk tempatan dan pendatang asing, dalam perjalanan dari bandar Mexico ke barat laut Tijuana.
"Mereka yang cedera dibawa ke hospital berdekatan kawasan itu.
"Seorang mangsa yang hanya mengalami cedera ringan telah melarikan diri.
"Setakat ini, kewarganegaraan pendatang asing terlibat belum disahkan," katanya menerusi kenyataan.
Nahas jalan raya sering berlaku di Mexico akibat pemanduan pada kelajuan tinggi, keadaan kenderaan yang uzur serta pemandu yang letih.
Mei lepas, sekurang-kurangnya 18 orang pelancong maut selepas bas yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung di Nayarit.
Pada bulan yang sama, 13 orang penumpang van terkorban selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori di Tamaulipas. - AFP
(Foto AFP)