fb fb fb fb fb

Banjir besar Mexico ragut 66 nyawa, 75 masih hilang

FOTO REUTERS

MEXICO CITY, 16 Oktober - Lima hari selepas banjir besar mengorbankan sekurang-kurangnya 66 orang di wilayah tengah dan timur Mexico, usaha menyelamat dan pembersihan masih tergendala akibat longgokan lumpur tebal serta timbunan sisa runtuhan.

Pihak berkuasa kini mengejar masa untuk menyalurkan bantuan ke kawasan paling terjejas sambil meneruskan operasi mencari 75 lagi mangsa yang masih hilang.

Di bandar Poza Rica, timur Mexico, limpahan sungai menyebabkan puluhan keluarga terperangkap dalam lumpur, sampah sarap dan runtuhan bangunan, sementara bantuan kemanusiaan dilapor tiba dengan amat perlahan.

Rakaman dron menunjukkan keseluruhan jalan ditenggelami lumpur dan sisa runtuhan, dengan barangan peribadi penduduk tertimbus di bawah selut tebal yang berbau busuk.

Bencana itu bermula apabila hujan lebat luar biasa mencetuskan tanah runtuh, menyebabkan sungai melimpah dan beberapa jambatan runtuh di beberapa kawasan.

Kira-kira 100,000 kediaman dilaporkan terjejas, manakala banyak komuniti kini bergelut untuk terus bertahan.

Penduduk yang terselamat pula menggunakan peralatan seadanya termasuk rangka katil untuk membersihkan lumpur di jalan, sementara sebahagian lain mencari barangan yang masih boleh diselamatkan di celah runtuhan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE