(Anggota tentera India memindahkan orang ramai dari kawasan banjir ke tempat yang lebih selamat
selepas hujan lebat di sebuah kampung di daerah Hojai, di negeri timur laut Assam, India, 18 Jun 2022/REUTERS)
DHAKA/GUWAHATI, 21 Jun- Pihak berkuasa menyalurkan bantuan menggunakan bot-bot kecil untuk menghantar bahan bantuan pada Isnin merentasi bandar dan kampung yang dinaiki air di Bangladesh, selepas lebih empat juta orang terdampar di negara itu, kata pegawai.
Pegawai dan sukarelawan menyerahkan beg bantuan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Moulvibazar, sebuah bandar di timur laut Bangladesh di selatan Sylhet, ketika orang ramai cuba menuju ke tempat perlindungan dengan membawa harta benda dan ternakan mereka.
Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh di Bangladesh sejak akhir minggu lalu berikutan hujan monsun yang mencetuskan banjir besar di Sylhet.
(Orang ramai berkumpul untuk mengutip bantuan makanan di kawasan perumahan yang dilanda banjir
berikutan hujan monsun lebat di Companiganj/AFP)
Banjir menenggelamkan sebahagian besar kawasan penempatan dengan air deras berlumpur, ketika anggota tentera dalam bot tiba membawa air minuman dan makanan untuk orang yang berlindung di tingkat atas bangunan.
Pihak berkuasa sedang cuba menghantar 1,720 tan beras dan 58,000 paket makanan kering, serta tablet penulenan air dan ubat-ubatan kepada komuniti yang dilanda banjir. -REUTERS