MATHURA, 15 Jun- Operasi menyelamat giat dijalankan di bandar Mathura, utara India susulan kejadian runtuhan bangunan pada Ahad yang menyebabkan beberapa individu cedera serta dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Jentera pengorek digunakan untuk membersihkan runtuhan, manakala pihak berkuasa tempatan memberi jaminan bahawa usaha menyelamat mangsa terperangkap akan diteruskan.
Menurut Pegawai Daerah, Chandra Prakash, hospital tempatan telah bersiap sedia untuk menerima mangsa yang cedera, namun jumlah mangsa yang cedera atau terperangkap belum dapat dipastikan.
“Kami berada di lokasi runtuhan bangunan, dan semua persiapan telah dibuat di hospital. Tujuh hingga lapan ambulans telah bersiap sedia di sini. Anggota NDRF (Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan) dan SDRF (Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri) sedang dalam perjalanan. Anggota bomba, pegawai majlis perbandaran serta pegawai pentadbiran sedang menjalankan operasi menyelamat. Bangunan itu dibina di atas bukit.
"Punca runtuhan akan dikenal pasti kemudian. Cuaca pada pagi tadi agak ribut, namun keutamaan kami sekarang adalah operasi menyelamat. Kami sedang mengesan semua individu yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan. Mereka akan diberikan rawatan sebaik mungkin," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa punca kejadian masih dalam siasatan, namun mengesahkan bangunan yang runtuh itu terletak di kawasan berbukit.
Beberapa penduduk tempatan pula menyatakan kemungkinan aktiviti pengorekan berdekatan menjadi faktor penyumbang kepada insiden tersebut.
Kejadian seumpama ini sering berlaku di India, yang berpunca daripada amalan pembinaan haram, struktur bangunan yang uzur serta penyelenggaraan yang tidak mencukupi.- REUTERS