fb fb fb fb fb

Bangladesh umum pilihan raya umum pada April 2026

Muhammad Yunus / Foto Reuters

DHAKA, 7 Jun – Ketua Penasihat sementara Bangladesh, Muhammad Yunus mengumumkan pilihan raya umum negara itu akan diadakan pada separuh pertama April 2026, susulan kejatuhan kerajaan Sheikh Hasina pada Ogos 2024 akibat kebangkitan rakyat.

Yunus berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengemukakan pelan terperinci pada masa yang sesuai, dan menegaskan komitmen terhadap reformasi menyeluruh sebelum pilihan raya berlangsung.

Pengumuman itu dikritik Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang mendesak pilihan raya diadakan sebelum Disember 2025. Ketua BNP, Khaleda Zia, dibebaskan daripada kes rasuah Januari lalu, sekali gus membuka peluang beliau bertanding.

Parti Awami pimpinan Hasina pula telah digantung pendaftarannya dan dilarang daripada menjalankan aktiviti politik di bawah Akta Anti-Keganasan. Hasina kini dalam buangan di India dan berdepan dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pilihan raya itu dilihat sebagai langkah penting ke arah pemulihan demokrasi di Bangladesh selepas ketegangan politik yang berpanjangan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN