fb fb fb fb fb

Mark Carney undang Modi ke Sidang G7 di Alberta

Foto Reuters

OTTAWA, 7 Jun – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney telah menjemput rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang akan berlangsung di Kanada bulan ini.

Carney, dalam satu sidang akhbar di Ottawa menyatakan jemputan itu adalah sebahagian daripada usaha Kanada untuk mempelbagaikan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat.

Beliau turut menegaskan adalah wajar untuk menjemput India, memandangkan negara itu kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dan memainkan peranan penting dalam pelbagai rantaian bekalan global.

Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Kanada, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk terus berhubung dan menantikan pertemuan semasa sidang G7 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Jun ini di Kananaskis, Alberta, Kanada.

India bukan ahli G7, namun boleh dijemput sebagai tetamu dalam perhimpunan tahunan tersebut.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara merosot selepas Kanada menuduh India terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin pemisah Sikh, serta mendakwa cubaan campur tangan dalam dua pilihan raya baru-baru ini.

Kanada turut mengusir beberapa diplomat kanan dan pegawai konsular India pada Oktober 2024, selepas mengaitkan mereka dengan pembunuhan tersebut dan mendakwa wujud usaha lebih luas untuk menyasarkan penentang kerajaan India di Kanada.

New Delhi menafikan dakwaan itu dan bertindak balas dengan mengusir jumlah diplomat Kanada yang sama.

Empat warganegara India telah didakwa berhubung pembunuhan pemimpin pemisah Sikh tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN