fb fb fb fb fb

Bangladesh haramkan Parti Liga Awami

Foto REUTERS

DHAKA, 12 Mei- Kerajaan sementara Bangladesh telah mengharamkan semua aktiviti Parti Liga Awami, parti politik bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina, di bawah Akta antikeganasan, dengan alasan keselamatan negara.

Keputusan itu, dibuat selepas beberapa hari protes jalanan diketuai oleh Parti Warga Negara Nasional yang dipacu oleh pelajar yang menggulingkan Hasina.

Beberapa parti Islamis dan berhaluan kanan, termasuk Jamaat-e-Islami dan kumpulan pembangkang lain, turut serta dalam demonstrasi itu, menuntut agar Parti Liga Awami diisytihar sebagai pertubuhan pengganas.

Larangan itu akan kekal sehingga perbicaraan terhadap pemimpin parti berkenaan berhubung kematian ratusan penunjuk perasaan di Tribunal Jenayah Antarabangsa selesai, menurut kenyataan kerajaan.

Kerajaan juga mengumumkan pindaan kepada Akta ICT, yang membenarkan tribunal untuk mendakwa bukan sahaja individu tetapi juga parti politik dan pertubuhan.

Perubahan berkenaan telah membuka jalan untuk Parti Liga Awami diadili sebagai entiti kolektif atas jenayah yang didakwa dilakukan semasa berkuasa.

Sementara itu, Parti Liga Awami, yang diasaskan pada tahun 1949, menolak keputusan itu sebagai tidak sah, dan memuat naik kenyataan di laman rasmi Facebook parti.

Terdahulu, pada Oktober tahun lepas , kerajaan mengharamkan sayap pelajar Liga Awami ,iaitu Liga Pelajar Bangladesh (Bangladesh Chhatra League), dan melabelkannya sebagai “pertubuhan pengganas” kerana peranannya dalam serangan ganas terhadap penunjuk perasaan.

Bangladesh telah menyaksikan ketegangan dan protes yang semakin meningkat selepas protes berdarah memaksa Hasina melarikan diri ke India pada bulan Ogos tahun lalu.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan negara Asia Selatan itu menubuhkan kerajaan sementara yang diketuai oleh penerima Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus, mengambil alih.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD