(Foto menunjukkan kepulan asap di bandar Kiev selepas beberapa serangan peluru berpandu Rusia ke atas Ukraine/ AFP)
KIEV, 10 Oktober - Beberapa bandar di Ukraine dihujani peluru berpandu pada Isnin, mengorbankan banyak nyawa.
Presiden, Volodymyr Zelensky menuduh Rusia mahu menghapuskan rakyat Ukraine dari muka bumi.
Beliau turut meminta penduduk tidak meninggalkan pusat pemindahan.
Panglima Tentera Ukraine, Jeneral Valeriy Zaluzhny pula memberitahu sekurang-kurangnya 75 peluru berpandu dilancarkan di seluruh negara itu, pada pagi Isnin.
Ini dengan beberapa serangan menyasarkan bandar Kiev dan beberapa bandar di selatan dan barat.
41 daripadanya berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Ukraine.
Siri serangan di Kiev, Lviv, Ternopil dan Dnipro itu berlaku sehari selepas Moscow menuduh Kiev mendalangi serangan bom di jambatan yang menghubungkan Crimea dengan Rusia.
(Beberapa kenderaan musnah susulan serangan peluru berpandu Rusia ke atas Ukraine/ AFP)
Dalam pada itu, pihak polis melaporkan serangan udara Rusia itu mengorbankan lima nyawa di Kiev, manakala 12 lagi cedera.
Wartawan AFP melaporkan mendengar bunyi letupan besar kira-kira pukul 8.15 pagi waktu tempatan.
Salah satu daripada peluru berpandu berkenaan jatuh berhampiran taman permainan kanak-kanak.
Di Lviv, serangan bom menyasarkan infrastruktur kritikal termasuk kemudahan tenaga.
Gabenornya, Maxim Kozytski menyeru penduduk kekal berada di rumah. -AFP