fb fb fb fb fb

Bandar-bandar China rekod suhu tertinggi, awal Mac

(Foto fail REUTERS)

BEIJING, 8 Mac- Puluhan bandar utama di China mengalami paras suhu tertinggi bermusim, minggu ini.

Suhu di Wuhan dan Zhengzhou, mencecah lebih 10 darjah celcius iaitu lebih tinggi daripada biasa yang pernah direkodkan pada awal Mac.

Data rasmi Agensi Meteorologi Kebangsaan China (NMC) menunjukkan Wuhan, yang terletak di bahagian tengah sungai Yangtze, mencatatkan suhu 26 darjah celcius pada Isnin lalu.

Beijing dan bandar-bandar sekitarnya pula menyaksikan suhu mencecah antara 22 hingga 25 darjah celcius.

Tahun lalu, China mengalami gelombang panas melampau dengan 267 stesen cuaca merekodkan suhu melebihi 40 darjah celsius.


(Foto fail/REUTERS)

Ia berlaku semasa kemarau musim panas selama 70 hari yang melanda seluruh lembangan sungai Yangtze dan mencetuskan kebakaran dan merosakkan tanaman.

Biro cuaca negara itu sudah memberi amaran bahawa ia menghadapi satu lagi cuaca ekstrem pada tahun ini akibat perubahan iklim global.

Wilayah barat daya Yunnan yang menempatkan stesen janakuasa hidro utama, mengalami kemarau yang berpanjangan hingga April, dengan purata hujan lebih 60%, lebih rendah daripada biasa sejak November tahun lalu.

Tasik air tawar terbesar di China, Poyang dan saluran bagi mengatasi banjir utama di Yangtze, juga mengalami kemarau, dengan paras air pada Isnin lalu turun semula di bawah 7 meter, iaitu rekod terendah, menurut media kerajaan.

Pegawai cuaca China berkata bahawa purata suhu pada Februari adalah 1.6 darjah celcius lebih tinggi daripada biasa, dengan purata hujan juga 3.9% lebih rendah.

Penolong Pengarah Pusat Meteorologi Negara, Gao Rong berkata perubahan corak cuaca juga bermakna musim bunga lebih awal di kebanyakan wilayah di selatan sungai Yangtze, iaitu sehingga 20 hari lebih awal daripada biasa.-REUTERS

Media Baharu