fb fb fb fb fb

Bahan api mula memasuki Gaza melalui Rafah

Asap berkepul-kepul selepas serangan Israel berhampiran Hospital Indonesia di Gaza/AFP

PALESTIN, 18 November- Kiriman bahan api pertama mula memasuki Gaza dari Mesir semalam, selepas pihak zionis setuju dengan permintaan Amerika Syarikat (AS).

Israel bagaimanapun membenarkan kemasukan tersebut dalam kuantiti terhad sahaja iaitu hanya dua lori tangki bahan api sehari untuk kemudahan rawatan air sisa yang 'runtuh' akibat kekurangan elektrik.

Seorang pegawai kanan AS mendakwa Washington telah memberikan tekanan besar ke atas Israel selama berminggu-minggu untuk membenarkan ia masuk melalui persimpangan Rafah dari Mesir.

Sementara Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menjelaskan Israel perlu bertindak segera untuk mengelakkan malapetaka kemanusiaan.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menegaskan 70 peratus penduduk tidak mempunyai akses kepada air bersih di Gaza dengan sisa kumbahan mula mengalir di jalanan.

Kempen udara dan darat penjajah zionis telah membunuh 12,000 orang, termasuk 5,000 kanak-kanak. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA