CANBERRA, 23 Jun– Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada Isnin menyatakan sokongan terhadap tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Beliau menjelaskan bahawa maklumat risikan menunjukkan Iran telah memperkayakan uranium sehingga 60 peratus.
Albanese berkata tiada penjelasan lain bagi pencapaian tahap itu dan mendakwa kononnya ia bukan bertujuan untuk tenaga nuklear awam.
"Iran tidak boleh dibiarkan memiliki senjata nuklear dan kami menyokong tindakan untuk menghalangnya," katanya kepada media di sini.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dalam laporan bertarikh 31 Mei menyatakan bahawa Iran kini memiliki uranium yang mencukupi untuk menghasilkan sehingga sembilan senjata nuklear jika diperkaya sepenuhnya.
Australia telah menutup kedutaan besarnya di Tehran pada Jumaat lalu, susulan perbincangan antara Menteri Luar, Penny Wong dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Selain itu, Australia turut menggantung operasi pemindahan rakyatnya dari Israel menggunakan bas berikutan serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran.
Namun, pihak berkuasa kini dalam persiapan untuk melaksanakan pemindahan sekiranya ruang udara Israel dibuka semula.
Dua pesawat tentera telah dihantar ke Asia Barat bagi membantu operasi pemindahan orang awam.– REUTERS