fb fb fb fb fb

Konflik AS-Iran jejaskan laluan penerbangan utama Asia Barat

Foto REUTERS

SWEDEN, 23 Jun- Beberapa laluan penerbangan utama di Asia Barat tergendala pada Isnin akibat serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran, menurut laman web pengesan penerbangan, FlightRadar24.

Laman berkenaan menunjukkan ruang udara Iran, Iraq, Syria dan Israel kosong tanpa sebarang penerbangan komersial.

Laluan udara Asia Barat menjadi semakin penting bagi penerbangan antara Eropah dan Asia sejak ruang udara Rusia dan Ukraine ditutup akibat peperangan.

Namun, data terkini menunjukkan banyak syarikat penerbangan menggantung sementara operasi di kawasan berisiko tinggi itu.

Singapore Airlines membatalkan penerbangan dari Singapura ke Dubai selepas penilaian keselamatan, manakala Air France-KLM dan British Airways turut membatalkan penerbangan ke Dubai, Riyadh dan Doha pada Ahad dan Isnin.

British Airways memaklumkan bahawa situasi itu sedang dikaji dari semasa ke semasa.

Laman pemantauan risiko penerbangan, Safe Airspace yang dikendalikan oleh OPSGROUP, memberi amaran bahawa serangan AS boleh meningkatkan ancaman terhadap pengendali penerbangan AS di rantau itu.

American Airlines dan United Airlines sebelum ini telah menggantung penerbangan masing-masing ke Qatar dan Dubai.

Syarikat penerbangan turut menyuarakan kebimbangan terhadap lonjakan harga minyak akibat konflik, yang dijangka meningkatkan kos bahan api penerbangan.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM