fb fb fb fb fb

Protes di Los Angeles bantah serangan AS ke atas Iran

Foto AFP

LOS ANGELES, 23 Jun– Puluhan penunjuk perasaan di Los Angeles mengadakan protes bagi membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) mengebom tiga kemudahan nuklear Iran.

Protes diadakan di pekarangan Dewan Bandaraya Los Angeles dan di hadapan Bangunan Persekutuan Wilshire yang dikawal oleh anggota tentera bersenjata.

Antara yang menyertai demonstrasi itu termasuk warga Iran-AS yang menentang campur tangan AS dalam konflik berkenaan.

Pada hari sama, Presiden AS, Donald Trump turut membangkitkan kemungkinan pertukaran rejim di Iran, manakala pegawai kanan pentadbirannya memberi amaran kepada Tehran agar tidak melancarkan serangan balas.

Seorang penunjuk perasaan, Farhad Gharib, 68, warga Iran-AS yang kini menetap di Long Beach, California, menyatakan kebimbangannya bahawa ketegangan itu boleh membawa kepada peperangan baharu seperti konflik di Iraq.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap cara pentadbiran semasa menguruskan krisis tersebut.

"Ini bukan sekadar rasa kecewa. Presiden (Trump) pernah berjanji untuk tidak mengheret negara ke dalam perang yang berlarutan. Tapi kini beliau menurut arahan Netanyahu (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu),” katanya.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Abe Khodadadi, 66, pula menyuarakan rasa bimbang terhadap kemungkinan konflik akan terus memuncak.

"Mudah-mudahan ia terhenti setakat ini sahaja. Mereka perlu berunding, selesaikan secara diplomatik, dan keluar daripada konflik ini. Tapi nampaknya tidak ke arah itu," ujarnya. – REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM