fb fb fb fb fb

Australia senaraikan ular kelabu dan walabi parma spesies terancam

(Walabi Parma)

SYDNEY, 4 Oktober- Kerajaan Australia menyenaraikan ular kelabu dan walabi kecil antara 15 spesies terancam terbaharu serta berikrar untuk menghentikan kepupusan tumbuhan dan haiwan pada Selasa.

Banyak spesies unik haiwan di Australia terus terancam dan habitatnya mengecil ekoran aktiviti manusia dan kejadian ekstrem seperti kebakaran belukar Black Summer 2019-2020, kata kumpulan hidupan liar.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anthony Albanese mengumumkan skim 10 tahun baharu untuk cuba menghentikan kepupusan 110 "spesies keutamaan" dan melindungi 20 "tempat keutamaan" daripada terus terancam.

Ia menetapkan matlamat untuk menghalang sebarang kepupusan baru tumbuhan dan haiwan sambil memulihara sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jisim daratan Australia.

Kumpulan hidupan liar menyalahkan rekod buruk Australia dalam melindungi spesies uniknya terutamanya pada kemusnahan habitat, yang dipercepatkan oleh pemanasan global dan mengakibatkan cuaca melampau.

Kebakaran Black Summer membakar seluas 5.8 juta hektar di timur Australia mengakibatkan kira-kira satu hingga tiga bilion haiwan berpindah dan sebahagian besarnya terbunuh.

"Kebakaran belukar Black Summer khususnya telah menyaksikan kemusnahan banyak spesies. Kami berazam untuk memberi peluang yang lebih baik kepada hidupan liar," kata Menteri Alam Sekitar Tanya Plibersek.

"Menyenaraikan haiwan tersebut sebagai terancam di bawah undang-undang alam sekitar negara adalah langkah kritikal dalam melindungi spesies dan habitat yang memerlukan bantuan segera."

Percubaan Australia untuk melindungi hidupan liarnya setakat ini tidak berhasil, tambah menteri itu.

"Australia adalah ibu kota kepupusan mamalia di dunia," katanya.

Antara 15 tumbuhan dan haiwan yang disenaraikan sebagai terancam ialah ular kelabu, walabi kecil parma dan belalang batang mancis kecil tanpa sayap.

Kumpulan hidupan liar mengalu-alukan matlamat kerajaan untuk menghalang sebarang kepupusan tumbuhan atau haiwan baharu. -AFP


(Ular Kelabu)

Media Baharu